Takdir & Usaha

Usaha kemudian Tawakkal kepada Allah

Terdapat sebilangan orang Islam yang terkeliru tentang konsep takdir (Qada’ dan Qadar), yang mana mereka beranggapan takdir mereka telah ditentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi dan dengan itu tidak perlu berusaha.
Hakikatnya, setiap manusia tetap berkewajipan untuk berusaha dan berikhtiar kerana semua perkara ditentukan oleh Allah tetapi manusia diberi pilihan-pilihan untuk mencorakkan hidupnya sendiri.
Nabi Muhammad s.a.w. bertanya kepada seorang Badwi yang meninggalkan untanya tanpa ditambat, “Mengapa kamu tidak menambat unta kamu?”
Orang Badwi itu menjawab, “Aku serahkan takdir dan bertawakkal kepada Allah s.w.t ”
Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya menjawab, “Ikatkan dahulu unta itu, kemudian barulah bertawakkal”.
Sesungguhnya umat Islam perlu percaya pada Qada’ dan Qadar Allah, dan perlu berusaha demi mengelakkan malapetaka atau mengurangkan risiko menanggung kerugian, dalam kes di atas, mengurangkan kebarangkalian hilangnya unta, barulah kemudian bertawakkal kepada Allah dan redha akan ketentuanNya.
Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡSesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib/keadaaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka. (Ar-Ra’d: 11)
Doa

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدۡعُونِيٓ أَسۡتَجِبۡ لَكُمۡ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Al-Mukmin: 60)
Sabda Rasulullah s.a.w :

(لاَ يَرُدُّ الْقَضَاءَ إِلاَّ الدُّعَاءُ، وَلاَ يُزِيْدُ فِى الْعُمْرِ إِلاَّ الْبِرُّ) -الترمذي-
“Tidak ada yang boleh mengubah takdir Allah kecuali doa.”
Ayat ini dapat difahami lebih mendalam bahawa doa disyariatkan dalam Islam pada dasarnya untuk mengubah nasib seseorang, sebab apalah gunanya seseorang berdoa kalau dia tidak mengharap perubahan daripada Allah. Baik perubahan umur dengan dipanjangkan umurnya, atau mengharap rezeki dengan meminta ditambahkan rezekinya.
Ajal dan Silaturrahim

Firman Allah Ta’ala:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٞۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمۡ لَا يَسۡتَأۡخِرُونَ سَاعَةٗ وَلَا يَسۡتَقۡدِمُونَ ٣٤Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajal, tidak dapat mereka lambatkan walau sesaatpun dan tidak dapat pula dapat mereka percepatkan. (Al-A’raaf: 34)
Sabda Rasulullah s.a.w. :

Siapa saja yang ingin dimudahkan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah menyambung silaturrahim. (Riwayat Bukhari)

Kalau dicermati dan direnungkan, perlu diketahui takdir yang diberi kepada setiap insan itu bukan hanya satu takdir, bahkan ada beberapa takdir.
Contohnya, Allah menentukan ajal si fulan untuk hidup selama 60 tahun, di samping itu juga Allah bagi takdir lain untuk hidup sampai 70 tahun lamanya.
Sesuai dengan hadis di atas, kalau si fulan menyambung silaturrahim maka takdir kedua akan dia capai, tapi kalau tidak maka dia akan diberi takdir yang pertama, iaitu akan hidup hanya sampai 60 tahun saja.
Dinyatakan oleh Ibnu Hajar dalam kitab “Fathu al-Baari”, beliau menerangkan bahawa sesungguhnya hadith dan ayat “Ta’jil” boleh digabungkan bersama, iaitu dengan memahaminya kepada dua bahagian.
Pertama: Maksud penambahan adalah Allah menambahkan keberkatan hidup bagi seorang mu’min yang menjalin silaturrahim.
Kedua: Hakikatnya adalah penambahan umur, di mana seseorang yang menjalin dan menyambung silaturrahim akan ditambahkan umurnya secara angka.
Beliaupun memberikan contoh umur, misalnya, umur seseorang ditentukan Allah antara enam puluh tahun dan seratus tahun, takdir pertama (60 tahun) dinamakan sebagai Qadha’ Mubram, sementara takdir kedua (100 tahun) adalah Qadha’ Mu’allaq.

Wabak Penyakit


Dalam satu riwayat juga disebutkan bahwa tatkala Umar bin Khattab r.a. dan rombongannya melakukan perjalanan ke suatu tempat di Syria, beliau tiba-tiba dikhabarkan bahawa tempat yang dituju sedang dilanda penyakit wabak, kemudian Umar r.a. bermusyawarah dengan rombongan untuk mencari jalan keluar, lantas Umar r.a. dan rombongan sepakat untuk membatalkan perjalanan tersebut dan kembali ke Madinah, kemudian salah seorang sahabat yang bernama Abu Ubaidah tiba-tiba memprotes keputusan Umar yang tidak ingin melanjutkan perjalanan.
فَقَالَ أَبُو عُبَيْدَة بْن الْجَرَّاحِ: أَفِرَارًا مِنْ قَدَرِ اللَّهِ؟ فَقَالَ عُمَرُ: لَوْ غَيْرُكَ قَالَهَا يَا أَبَا عُبَيْدَةَ – وَكَانَ عُمَرُ يَكْرَهُ خِلاَفَهُ – نَعَمْ نَفِرُّ مِنْ قَدَرِ اللَّهِ إِلَى قَدَرِ اللَّهِ
Abu Ubaidah bin al-Jarrah berkata “Apakah kita hendak lari menghindari takdir Allah?”
Umar r.a. menjawab: “Benar, kita menghindari suatu takdir Allah dan menuju takdir Allah yang lain”
.
Taqwa dan Tawakkal

Firman Allah Ta’ala:
وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مَخۡرَجٗا ٢ وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيۡءٖ قَدۡرٗا ٣
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya, dan sesiapa yang berserah diri (bertawakkal) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (At-Talaq: 2-3)
Bangkitlah wahai pemuda-pemudi Islam !
Corakkan kehidupan dengan nilai-nilai Islam.
Bersama usaha ke arah kemenangan Islam.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

muzakarah 6 sifat unggul para sahabat yang perlu ada dalam setiap diri umat masa kini!!!!